http://sharery.blogspot.com/2019/02/taman-negara-gunung-rainier-washington.html
Anda akan ketinggalan sekiranya tidak membaca keseluruhan dari bahagian sebelumnya.
Pemandangan semakin indah apabila matahari sudah mulai naik dan dapat melihat pokok-pokok yang berwarna merah, kuning dan oren. Tahap ketinggian semasa memandu menuju ke Paradise juga semakin tinggi. Jalan raya yang dilalui ialah di lereng gunung yang curam dan beberapa kali kami memasuki terowong.
Paradise ialah tempat tumpuan paling utama bagi pelawat yang datang ke Taman Negara Gunung Rainier dan lokasi paling dekat dengan Gunung Rainier. Di sini mereka akan memulakan pendakian atau berjalan kaki di sekitar Taman Negara dengan menggunakan laluan yang dibenarkan sahaja. Pusat Khidmat Pelancong yang diberi nama Henry M Jackson Visitor Center turut terletak di sini. Ia hanya dibuka pada bulan Mei sehingga awal bulan Oktober. Manakala dari pertengahan bulan Oktober sehingga bulan April, ia dibuka hanya pada hujung minggu dan hari cuti umum. Tandas awam ditempatkan berasingan dengan Pusat Khidmat Pelancong dan boleh digunakan sepanjang masa lawatan.
Gunung Rainier ialah gunung tertinggi di negeri Washington dengan ketinggian 14,410 kaki di atas paras laut yang juga merupakan ikon utama bagi lanskap negeri ini. Seperti contoh, gambar Gunung Rainier pasti akan dilihat di mana-mana cenderahati yang dijual. Seperti yang diceritakan di bahagian pertama artikel, sudah bertahun-tahun saya menyimpan impian untuk melihat Gunung Rainier dari arah dekat. Apabila impian menjadi kenyataan, maka saya menganggap ia merupakan salah satu kenangan manis pada tahun 2018.
Cuaca pada waktu tengah hari di Paradise sangat panas dan suhu juga agak tinggi. Kami tidak melakukan aktiviti mendaki kerana ia pasti mengambil masa yang lama. Sekiranya ingin mendaki pada masa akan datang, kami akan bermalam di mana-mana tempat penginapan yang berdekatan. Untuk perjalanan pulang, kami menggunakan laluan berbeza iaitu melalui Southwest Entrance : Nisqually. Laluan ini paling popular di kalangan pelawat kerana ia dibuka sepanjang tahun.
Sebaik sahaja melepasi pintu gerbang Taman Negara Gunung Rainier di Southwest Entrance, kami berhenti di sebuah kedai berdekatan untuk membeli cenderamata kerana saya tidak dapat membelinya di Pusat Khidmat Pelancong di Paradise. Kami sempat juga meluangkan sedikit masa berbual dengan pemilik kedai yang begitu peramah.
Kepada yang ingin melawat ke Taman Negara Gunung Rainier terutamanya pada bulan Oktober hingga Mei, saya nasihatkan supaya sentiasa mengikuti perkembangan terkini melalui laman sesawang dan laman sosial Taman Negara Gunung Rainier. Ini kerana, kemungkinan ada laluan atau jalan raya yang ditutup atas faktor cuaca atau berlakunya kejadian alam semulajadi yang tidak dapat dielakkan seperti kebakaran, tanah dan salji runtuh. Pada musim sejuk dan bersalji pula, setiap kenderaan diwajibkan membawa rantai untuk dililit di setiap tayar. Melalui pandangan peribadi, saya tidak menggalakkan anda untuk datang melawat di dalam tempoh yang dinyatakan di atas kerana terlalu banyak risiko keselamatan.
Musim panas pastinya sangat sesuai untuk melawat tetapi tahap kesibukan di kesemua Taman Negara sukar untuk dibayangkan. Biasanya kenderaan perlu beratur beberapa kilometer sebelum sampai ke pintu masuk atau pondok untuk membuat bayaran. Selain itu terdapat kesukaran untuk mencari tempat meletak kenderaan. Jika tidak silap, hanya sekali saya dan suami pernah melawat ke Taman Negara pada musim panas dan selebihnya kami gemar melawat pada bukan musim puncak.
Video di bawah dirakamkan di sepanjang perjalanan ke Taman Negara Gunung Rainier. Kualitinya tidak memuaskan kerana blogspot mengehadkan saiz yang kecil untuk dimuat naik di sini. Saya mengalu-alukan anda menonton video ini di saluran You Tube Shery NN dengan kualiti yang baik ; https://youtu.be/0mODQzuWCMY
Instagram : blog_th2010
You Tube : Shery NN