Sunday, 24 February 2019

Taman Negara Gunung Rainier, Washington (Bahagian 1)

Pada tahun 2012 semasa pertama kali saya datang ke Seattle, saya melihat pemandangan indah keseluruhan bandar Seattle yang berlatar belakangkan Gunung Rainier yang diselaputi salji sepanjang tahun di anjung tinjau menara Space Needle. Sejak dari tahun 2012 sehingga ke hari ini, sudah terlalu kerap saya datang ke Seattle sehingga menjadikan ia rumah kedua saya dan setiap kali melihat Gunung Rainier, ia seolah memanggil saya untuk datang melawat. Akhirnya impian untuk melihat gunung tertinggi di negeri Washington dari arah dekat menjadi kenyataan. Saya dan suami melawat ke Taman Negara Gunung Rainier pada awal musim luruh tahun lalu.

19 Oktober 2018
Pemanduan bermula dari Bellevue, Washington pada jam 6:50 pagi. Perjalanan pada waktu pagi berjalan lancar walaupun trafik di lebuh raya agak sibuk. Sebaik sahaja memulakan pemanduan memasuki kawasan pendalaman, kenderaan juga sudah berkurangan. Pemandangan awal pagi sangat indah ditambah pula dengan cuaca yang sejuk dan berkabus. Lebih kurang 1 jam 40 minit pemanduan, kami berhenti sebentar di Skookum Falls Viewpoint, Enamclaw. Mendengar deruan air sungai dalam keadaan persekitaran yang sunyi adalah sangat mendamaikan.

Terdapat beberapa pilihan laluan untuk masuk ke Taman Negara Gunung Rainier. Suami saya memilih untuk memasuki dari Southeast Entrance : Stevens Canyon. 
Laluan ini adalah yang paling merbahaya dan ditutup selama 8 bulan kerana salji tebal yang akan menutupi keseluruhan jalan raya dan akan berlakunya salji runtuh. Ia hanya dibuka untuk pelawat dari penghujung bulan Mei hingga awal bulan November.
Bayaran masuk dikenakan bagi setiap kenderaan yang masuk ke Taman Negara. Pada hari tersebut, pondok yang kami lalui ditutup. Sepatutnya pelawat perlu meletakkan wang di dalam sampul dan dimasukkan di dalam peti pos, malangnya kami tidak nampak sebarang sampul kosong dan peta yang diletakkan di situ. Kemungkinan besar ranjer tidak bertugas di pondok Southeast Entrance kerana laluan ini tidak popular pada bukan musim puncak. Ini merupakan kali kedua kami tidak dapat membayar untuk laluan masuk. Yang pertama ialah semasa lawatan ke Taman Negara Tasik Crater di Oregon pada bulan sebelumnya.

Kami membuat beberapa lagi persinggahan di sepanjang perjalanan semata-mata untuk mengambil gambar Gunung Rainier dari sudut yang berbeza. Kesemua tempat tersebut adalah tempat yang dibenarkan untuk berhenti dan meletakkan kenderaan. Di dalam satu gambar di bawah, anda dapat lihat satu batang galah yang dicacakkan di tepi jalan di mana saya rakamkan bersebelahan kereta kami. Ia adalah galah untuk mengukur tahap ketinggian salji. Ya, salji akan turun banyak sehingga boleh menandingi ketinggian kereta.
Galah tersebut dicacakkan bukan satu tetapi banyak di dalam Taman Negara Gunung Rainier. Tong sampah juga perlu sentiasa ditutup rapat bagi mengelakkan dari beruang datang menyelongkar.

Hentian yang paling penting dan wajib dikunjungi ialah Reflection Lakes di Paradise. Pemandangan di sini amat menakjubkan! Tasik ini sangat jernih seperti cermin sekaligus ia memantulkan bayang-bayang Gunung Rainier di atasnya. Saya pernah melihat gambar rakan saya yang datang ke Reflection Lakes pada musim panas. Keindahannya berbeza kerana terdapat banyak bunga-bungaan yang memekar dan berwarna warni.

Di dalam artikel bahagian pertama ini, saya kongsikan sebanyak 62 gambar yang dirakamkan di sepanjang separuh perjalanan ke Taman Negara Gunung Rainier. Nantikan juga artikel bahagian kedua untuk membaca keseluruhan pengalaman perjalanan. Gambar-gambar dan video turut saya muat naik di dalam artikel yang bakal disiarkan tidak lama lagi.
Instagram : blog_th2010
You Tube : Shery NN

No comments:

Post a Comment