Sunday, 29 June 2014

Berakhirnya Perkhidmatan B737-400 Malaysia Airlines

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Kapal terbang B737-400 milik Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) telah menamatkan perkhidmatannya pada 14 Jun 2014 di mana pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan mendarat buat kali terakhir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 9.31 malam.

B737-400 memulakan penerbangan dengan MAS pada tahun 1992 dan pernah mempunyai sebanyak 54 buah pesawat sekaligus menjadikan MAS pengendali terbesar model B737-400 (di luar Amerika Syarikat).

Selepas melihat beberapa orang bekas rakan sekerja yang berkongsi gambar kenangan semasa mereka berkhidmat dengan B737-400 di dalam Instagram, hati saya turut tersentuh. Sepanjang lima tahun saya pernah bekerja sebagai anak kapal MAS dan berkhidmat untuk pesawat B737 serta A330, mana mungkin saya boleh melupakan kenangan indah itu. Sukar untuk saya huraikan satu persatu tentang memori dan nostalgia semasa saya berkhidmat dengan B737-400 kerana ianya terlalu banyak untuk saya ceritakan di sini.

Secara kesimpulannya, pesawat ini telah banyak mengajar saya dalam meningkatkan mutu dan kualiti kerja. B737-400 juga menjadi saksi di mana saya berpeluang berjumpa dengan pelbagai penumpang  baik dari penumpang biasa hinggalah ke VVIP, seperti selebriti tempatan dan antarabangsa, ahli sukan, menteri kabinet, kaum kerabat di Raja serta Sultan. Antara dari mereka (senarai pendek) ialah pereka fesyen kasut terkenal dunia Dato' Jimmy Choo http://sharery.blogspot.com.au/2014/02/kenangan-bertemu-dengan-dato-jimmy-choo.html, jaguh skuasy dunia Dato' Nicol David, pelakon Filipina Jericho Rosales, selebriti Chef Wan, Datuk Malik Mydin (perenang yang merentas Selat Inggeris), Dato' Azhar Mansor (pelayar solo mengelilingi dunia), Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin, Tuanku Nur Zahirah serta putera dan puteri baginda.

Di bawah ini disertakan beberapa gambar kenangan semasa saya bertugas dengan B737-400.

B737-400.
Kenangan bergambar bersebelahan enjin B737-400 di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada tahun 2005.
Berlatar belakang B737-400 di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan pada tahun 2007.
Di dalam kabin kelas perniagaan (sebelum sarung kerusi ditukar dengan warna warni).
Berdiri di pintu belakang (Door 2 Left) pesawat sementara menunggu van katering tiba.
Saya bersama Cik Puan Muda Pahang, Cik Puan Julita Aishah di dalam penerbangan awal pagi dari Kuantan ke Kuala Lumpur.  Kebiasaanya saya tidak berpeluang dapat bergambar sebegini terutama jika waktu penerbangan sangat singkat. Mujur pada waktu itu tiada penumpang lain kecuali Cik Puan Julita sahaja. Beliau sangat jelita dan begitu peramah sekali.

Penerbangan dari Manila ke Kota Kinabalu pada tahun 2007.
Di dalam kokpit pesawat pada tahun 2009.
Bangkok ke Kuala Lumpur ialah penerbangan terakhir saya bersama B737-400 sebelum saya meletakkan jawatan pada Ogos 2009.
Saya duduk di crew seat di bahagian belakang (dapur/galley). Ia juga merupakan tempat kami duduk semasa waktu take off dan landing.  Ini ialah gambar yang dirakamkan di minit-minit terakhir sebelum saya melangkah keluar dari pesawat meninggalkan B737-400 dan syarikat penerbangan saya buat selama-lamanya (sebagai anak kapal MAS).

B737-400 boleh dikatakan sebagai 'playground' bagi kami anak-anak kapal Malaysia Airlines. Kami akan merindui buat selama-lamanya.


Pesawat ini diganti dengan B737-800 yang baru. Saya pernah melihat dari dekat pesawat yang sudah siap keluar dari kilang dan bakal terbang ke Malaysia. Cerita penuh sila klik disini : http://sharery.blogspot.com.au/2012/08/melawat-ke-kilang-kapal-terbang-boeing.html

Monday, 23 June 2014

Salamanca Market Di Hobart

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Salamanca Market merupakan pasar jalanan di Salamanca Place, Hobart, Tasmania. Ia adalah salah satu tarikan pelancong yang utama di Tasmania. Perniagaan diadakan pada setiap hari Sabtu bermula jam 8.30 pagi hingga 3.00 petang. Antara barang jualan yang terdapat di sini ialah pakaian, kraftangan, makanan, sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan segar.


Semasa di dalam perjalanan ke Salamanca Market.

Semasa di dalam perjalanan ke Salamanca Market.







Jelas kelihatan puncak Gunung Wellington dari pasar jalanan ini.

Suami memilih untuk membeli tempura cendawan manakala saya pula membeli kuih dadar mini.

Puteri Mahkota Denmark, iaitu Princess Mary adalah anak kelahiran Hobart. Beliau lahir, dibesar dan bersekolah sehingga ke peringkat universiti di negeri ini. Setiap kali beliau dan keluarga pulang bercuti, Salamanca Market pasti menjadi pilihannya. Pernah saya melihat gambar beliau bersiar-siar di bandar Hobart secara santai dengan berpakaian kasual bersama rakan dan kakak tanpa pengawal peribadi. Satu perkara menarik ialah beliau akan mengambil penerbangan komersial (Qantas Airways, Virgin Australia dan Jetstar) dari Sydney ke Hobart.



Gambar atas : Gabungan bangunan-bangunan lama dan baru di kawasan ini sungguh menarik perhatian saya.

Gambar bawah : Berjalan kaki dari Salamanca Market menuju ke Hobart Waterfront.

Tedapat beberapa kedai dan restoran makanan laut di Hobart Waterfront. Oleh kerana sukar untuk membuat keputusan, akhirnya kami memilih untuk kembali ke restoran MURES untuk menikmati makan lewat tengah hari.

Gambar atas : Bangunan tinggi di dalam gambar ini ialah Wrest Point Tasmania iaitu hotel dan kasino terkenal di negeri ini.

Gambar bawah : Sungai Derwent.

Memandu pada lewat petang di sekitar bandar Hobart sebelum kami pulang ke Melbourne pada esok hari.
Terima kasih kepada anda yang sudi membaca entri mengenai negeri Tasmania dari hari pertama saya datang sehingga hari terakhir di sini.

Sunday, 22 June 2014

Hobart Waterfront Pada Waktu Siang Dan Malam

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Hobart Waterfront bukan sahaja memberikan pemandangan menarik kepada para pelancong, tetapi juga ia merupakan lokasi terkenal atau titik pengakhiran perlumbaan perahu layar popular dan berprestij yang diadakan setiap tahun iaitu Sydney Hobart Yatch Race.






Friday, 20 June 2014

Gunung Wellington, Tasmania (Bahagian 2)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Bahagian 2
Kunjungan kali kedua kami ke puncak Gunung Welington adalah pada hari dan waktu yang berbeza. Pada kali ini kami tiba awal pagi manakala kunjungan pertama pada lewat pagi. Cuaca dan suhu juga berubah berbanding hari sebelumnya. Sebaik tiba di puncak kami dapat merasai salji yang turun seketika. Permukaan tanah, pokok dan keadaan sekeliling juga sudah diselaputi ais. Pejalan kaki harus berhati-hati kerana jalan raya yang berais ini sangat licin. Saya terasa agak 'terseksa' apabila berada di puncak kerana saya masih lagi menghidap demam selesema.












Gambar semasa memandu untuk perjalanan turun.

Saya berharap anda berpuas hati dengan gambar-gambar yang saya kongsikan di dalam kedua-dua bahagian entri Gunung Wellington ini.

Thursday, 19 June 2014

Gunung Wellington, Tasmania (Bahagian 1)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Gunung Wellington terletak berhampiran dengan bandar Hobart, Tasmania dan mempunyai ketinggian 1,271 meter. Puncak gunung ini sering diliputi salji dan adakalanya masih boleh terdapat pada musim panas (di bahagian cerun dan hutan tebal).Melalui gambar-gambar di bawah saya berharap anda dapat turut merasai pengalaman menaiki Gunung Wellington.










Bayaran masuk tidak diperlukan dan tiada had waktu untuk naik ke puncak. Walau bagaimanapun
dek pemerhatian berbumbung (The pinnacle observation shelter), dibuka kepada orang ramai dari jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam pada musim panas manakala 8.00 pagi hingga 4.30 petang pada musim sejuk.





Gambar-gambar di puncak Gunung Wellington yang kami kunjungi pada kali kedua dan hari yang berbeza akan disiarkan di Bahagian 2 selepas entri ini.


Tuesday, 17 June 2014

Restoran MURES Di Hobart Waterfront

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Tidak sah sekiranya datang ke Tasmania tanpa menikmati makanan laut di sini. Saya dan suami telah berkunjung sebanyak dua kali ke restoran terkenal di Hobart iaitu MURES. Selain restoran, jenama MURES turut menjual produk makanan laut seperti ikan salmon lebih dari 25 tahun yang lalu.

Restoran ini terletak di Victoria Dock, Hobart Waterfront.









Sunday, 15 June 2014

Tugu Peringatan Hobart Cenotaph

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Hobart Cenotaph adalah tugu peringatan tentera yang utama bagi negeri Australia Tasmania. Di sini juga tempat berlangsungnya majlis memperingati Hari Anzac pada 25 April setiap tahun yang bermula dari awal waktu subuh. Hobart Cenotaph mengingatkan saya akan Kings Park di Perth, Australia Barat. Persamaannya ialah kedua-dua tugu peringatan ini terletak di atas bukit serta menghadap sungai dan pusat bandar. Kings Park menghadap Sungai Swan manakala Hobart Cenotaph menghadap Sungai Derwent. Perbezaan yang ketara ialah Kings Park lebih besar dari Hobart Cenotaph.














Friday, 13 June 2014

Hobart Ibu Negeri Tasmania

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Hobart ialah ibu negeri dan bandar yang paling ramai penduduk di negeri Tasmania. Bandar ini juga merupakan bandar nombor dua tertua di Australia selepas Sydney di New South Wales.

Kami memilih untuk menginap beberapa malam di Leisure Inn Waterfront Lodge. Hotel ini sangat unik kerana walaupun jarak dengan pusat bandar Hobart hanya 5.5 km, tetapi keadaan sekeliling hotel sangat mendamaikan ibarat seperti kami berada jauh beratus kilometer dari bandar besar.


Gambar atas : Berada di lobi hotel pada awal pagi.

Gambar bawah : Pemandangan yang cukup mendamaikan ini dirakamkan di anjung tinjau di bahagian lobi.

Gambar atas : Walaupun matahari terik, tetapi suhu sangat rendah.

Gambar bawah : Puncak Gunung Wellington jelas kelihatan dari hotel penginapan kami.

Memulakan perjalanan hari kedua bersiar-siar di bandar Hobart.

Hobart menjanjikan pemandangan yang menarik untuk para pelancong terutama sekali bagi mereka yang minat mengambil gambar.


Lapangan Terbang Antarabangsa Hobart.






Pusat membeli belah di bandar Hobart.


Salah sebuah pusat membeli belah yang unik namanya.