Sebenarnya saya tidak bercadang untuk menyiarkan sebarang artikel pada hari ini. Akan tetapi fikiran saya asyik berkata-kata membuatkan saya untuk menulis pada waktu ini. Bermulanya Blog Terjemahan Hati pada tahun 2010 adalah kerana saya ingin meluahkan perasaan rindu saya terhadap bapa yang telah meninggal dunia pada tahun 2008. Lama kelamaan blog saya memaparkan pelbagai topik lain terutama sekali mengenai kembara. Hari ini, saya seperti mengundur kembali pada waktu di mana saya menulis mengenai bapa saya. Tidak pernah saya terlintas atau membayangkan untuk menggunakan sekali lagi blog Terjemahan Hati untuk meluahkan perasaan rindu saya terhadap
ibu tercinta pula yang pulang kepada penciptanya pada 9 Disember 2020.
Walaupun setiap hari saya tidak pernah lupa mengingati ibu, tetapi pada hari ini ingatan itu berbeza dari sebelumnya. Hari ini, iaitu 14 April ialah hari kelahiran ibu saya. Jika ibu masih ada, umur beliau ialah 82 tahun.
Saya redha dengan pemergian ibu kerana hidup mati semuanya telah ditakdirkan. Tetapi sebagai manusia yang tidak sempurna, saya masih sedih dan pedih sehingga ke hari ini. Selain tidak percaya yang ibu sudah tiada, kadang kala saya masih mempersoalkan kenapa ibu pergi terlalu awal? Saya akui, seseorang yang hidup sehingga umur 81 tahun bukanlah terlalu awal untuk pulang menghadap ilahi, malah saya bersyukur yang sudah tiba masanya ibu berehat dan tidak lagi menanggung sebarang kesakitan. Sebelum ibu pergi, beliau sempat menyandang gelaran moyang dan mendapat dua orang cicit lelaki.
Selepas berkahwin dan berhijrah ke luar negara, saya tidak pernah pulang berhari raya di Malaysia. Entah mengapa tiba-tiba saya seperti ingin menyambut lebaran pada tahun 2019 iaitu bersamaan tahun ke-sepuluh saya berkahwin. Tetapi apabila mengingatkan ibu akan menyambut hari istimewa sempena memasuki umur 80 tahun, fikiran saya berbelah bahagi. Yang mana satu patut diutamakan? Saya juga pernah terfikir untuk membatalkan sahaja hasrat kerana saya sedang mengalami masalah kesihatan yang agak teruk. Memikirkan hari raya disambut sama setiap tahun, tetapi usia ibu memasuki 80 tahun hanya diraikan sekali sahaja, maka saya mengambil keputusan di minit-minit terakhir untuk pulang pada bulan April 2019 tanpa pengetahuan ibu dan keluarga yang lain.
Gambar di atas dirakamkan di majlis sambutan hari ulang tahun ibu yang ke-80 pada dua tahun lalu. Keputusan yang saya ambil untuk pulang meraikan hari istimewa ibu merupakan antara salah satu keputusan yang sangat bijak serta berbaloi yang pernah saya lakukan sepanjang hidup walaupun saya sedang mengalami dan merahsiakan masalah kesakitan saya dari semua orang termasuk suami saya sendiri.
Kepada yang ingin mengikuti perkembangan saya, anda boleh terus ke laman sosial saya yang lain dengan klik nama (username) di bawah ini.
Instagram : blog_th2010
Facebook : blog_th2010
You Tube : Shery NN
Al- Fatihah (dibaca)
ReplyDeletesemoga roh arwah ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.
rindu itu tak akan ada penghujung..(mengalami perasaan yang sama di kala ini)
stay safe.
Terima kasih. 🙏🏼
Delete