Artikel ini bersambung dari artikel bahagian 1 yang telah disiarkan pada 19 November 2020 ;
https://sharery.blogspot.com/2020/11/winnipeg-manitoba-bahagian-1.html
Gambar-gambar yang dikongsikan di bawah ini saya rakamkan sewaktu berada di Winnipeg pada hari-hari yang berbeza. Untuk memanfaatkan waktu yang ada, saya dan suami memandu di sekitar bandar untuk meninjau keadaan persekitaran. Saya suka melihat bangunan-bangunan lama kerana senibina yang tidak terdapat di bangunan baru lagi moden. Selain itu, saya tertarik dengan beberapa mural yang dilukiskan. Rancangan suami untuk meninjau kilang pembuatan jaket mewah dan terkenal Canada Goose akhirnya tercapai. Kilang ini menggunakan bangunan bersejarah yang dibina pada tahun 1916. Terdapat pengawal keselamatan yang kerap membuat rondaan di luar bangunan. Kami juga berpeluang singgah bergambar di hadapan bangunan perundangan negeri (Manitoba Legislature Building).
Satu perkara yang boleh saya gambarkan mengenai Winnipeg ialah, saya berasa sangat kasihan dengan bandar ini. Walaupun anda tidak dapat melihat melalui gambar-gambar di bawah, tetapi percayalah bahawa saya dan suami melihat terlalu ramai penduduk yang tidak berumah yang hidup merempat di sekitar bandar yang majoriti dari mereka ialah masyarakat kaum asli Kanada dan melihat dari mata kasar saya, ramai orang yang sudah berumur. Apabila bandar dipenuhi dengan orang yang tidak berumah, maka sekaligus persekitaran menjadi kotor dan terjadinya banyak kes jenayah. Salah satu tempat tinggal mereka ialah di sebuah kawasan yang berdekatan dengan tapak ujian COVID-19 yang sempat saya rakamkan gambarnya sewaktu pemanduan walaupun gambar itu agak kabur. Sekiranya kami datang lagi ke Winnipeg, kami tidak berhajat untuk berjalan kaki di dalam pusat bandar kerana nampak agak merbahaya.
Pada pendapat saya, Winnipeg ialah sebuah bandar yang agak membosankan. Terdapat tiga sahaja pusat membeli belah yang besar iaitu CF Polo Park, Outlet Collection Winnipeg dan IKEA itupun terletak jauh sedikit dari pusat bandar. Di kawasan berdekatan juga terdapat banyak kedai-kedai dan restoran yang nampak lebih tenang, bersih dan jauh beza dari tempat-tempat tinggal orang tidak berumah. Masih ada tempat menarik selamat dilawati yang boleh anda rujuk melalui artikel bahagian 1 yang alamatnya diletakkan di perenggan paling atas dan tempat paling wajib dilawati ialah Galeri Winnie The Pooh; http://sharery.blogspot.com/2021/03/menjejaki-sejarah-winnie-pooh-di.html
Anda boleh terus ke laman sosial saya yang lain dengan klik nama (username) di bawah ini.
No comments:
Post a Comment