Friday, 8 November 2013

Bertemu Dengan Bekas Rakan Sekerja Di Perth, Australia Barat

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Minggu lalu saya berpeluang berjumpa dengan bekas rakan sekerja yang berada di Perth, Australia Barat semasa mereka di dalam waktu bertugas.

Adibah merupakan rakan sekelas semasa kami menuntut di Malaysia Airlines Academy (MAA) di Kelana Jaya, Selangor pada tahun 2004. Selepas tamat tempoh latihan, kami tidak pernah dijadualkan untuk bertugas bersama-sama sehinggalah saya meletakkan jawatan dan berhijrah ke Australia pada tahun 2009.

Hanya baru-baru ini kami berhubung melalui Instagram dan apabila melihat gambar-gambar beliau yang baharu tiba di Perth, maka di dalam minit-minit terakhir kami mengatur perancangan untuk berjumpa.


Gambar atas : Saya dan Adibah di Malaysia Airlines Academy pada tahun 2004.

Gambar bawah : Gambar terbaru kami di Perth.

Bonus bagi saya ialah bukan sahaja dapat berjumapa dengan Adibah pada hari tersebut, tetapi juga dapat berjumpa dengan Farzan. Saya pernah terbang bertugas bersama Farzan satu ketika dahulu.
Walaupun hanya beberapa jam, saya dan suami memanfaatkan masa yang ada untuk membawa tetamu kami bersiar-siar di sekitar Perth. Selain bergambar dan menikmati pemandangan dalam bandar, kami membawa Adibah dan Farzan melihat keindahan Sungai Swan (Swan River) dari beberapa lokasi yang berlainan termasuk di kawasan perumahan mewah dan tergolong di dalam tangga ke-5 perumahan termahal di Australia (top 5) yang memang tidak dikunjungi oleh pelancong asing.

Dengan sungai dan langit yang membiru membuatkan pemandangan menjadi lebih cantik.

Gambar atas : Berlatar belakangkan Swan River dan bandar Perth.

Gambar bawah : Kenangan pada hari graduasi, Adibah di sebelah kiri manakala saya di sebelah kanan.

Kami melengkapkan kunjungan Adibah dan Farzan dengan membawa mereka ke Fremantle.

Gambar atas : Di hadapan pasar popular iaitu Fremantle Market.

Gambar bawah : Makan lewat tengah hari di Sweet Lips.  Beberapa minggu lalu Sweet Lips telah memenangi anugerah Fish And Chips terbaik di Australia. 

Di Kings Park.

Gambar terakhir kami berempat dirakamkan di Kings Park. Kings Park merupakan taman dalam bandar terbesar di dunia di mana ianya lebih besar daripada Central Park di New York dan Hyde Park di London.

Begitulah sedikit sebanyak cerita dan gambar yang dapat saya kongsikan di sini. Saya bersyukur kerana sejak berhijrah empat tahun yang lalu, saya masih menerima kunjungan bekas rakan sekerja tidak kiralah samada semasa saya berada di Australia mahupun di Amerika Syarikat.

No comments:

Post a Comment