Monday, 11 July 2016

Pemanduan Dari North Dakota Ke South Dakota

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Jika anda mengikuti entri yang terdahulu, saya menyiarkan artikel mengenai Bismarck, North Dakota.
http://sharery.blogspot.com.au/2016/06/bismarck-ibu-negeri-north-dakota.html

Selepas Bismarck, saya dan suami meneruskan pemanduan merentasi ke negeri seterusnya iaitu South Dakota. Masa pemanduan mengambil masa kira-kira 3 jam dan 30 minit. Lebih kurang separuh dari perjalanan tersebut, kami berhenti di titik sempadan di antara kedua buah negeri.
Cuaca di sepanjang perjalanan adalah mendung dan berawan. Walau bagaimanapun kami bernasib baik kerana semasa berhenti di sempadan kedua buah negeri ini, tiba-tiba langit cerah dan membiru seketika malah suhu juga agak rendah berserta angin yang kuat. Kepada yang ketinggalan, anda boleh membaca artikelnya di sini;
http://sharery.blogspot.com.au/2016/06/sempadan-north-dakota-south-dakota.html

Laluan kali ini sungguh menarik perhatian kerana walaupun masa pemanduan selama 3 jam setengah tetapi dirasakan seperti 6 jam lamanya kerana kami tidak menggunakan lebuh raya. Menyusuri jalan lama yang rata-rata pemandangannya dibentangkan dengan ladang-ladang dan perkampungan kecil sebenarnya tidaklah menjemukan.

Seperti yang saya nyatakan di atas, cuaca pada hari tersebut adalah kurang memuaskan tetapi ia tidak mematahkan semangat saya untuk merakamkan banyak gambar menarik. Kalau boleh apa sahaja yang dilihat, saya mahu ia menjadi kenangan yang disimpan di dalam kamera. Oleh itu jumlah keseluruhan gambar yang saya rakamkan sepanjang perjalanan ini ialah hampir 700 kesemuanya.

Artikel ini mengambil masa berminggu-minggu untuk disiapkan kerana saya mempunyai masalah dalam pemilihan gambar. Semuanya saya rasakan menarik untuk dikongsi malangnya hanya beberapa sahaja yang dapat saya muat naik. Gambar-gambar di bawah telah saya susun mengikut turutan yang betul. Anda perlu menonton dua buah klip video terlebih dahulu dan kemudian baharu diikuti dengan gambar yang lain. Semoga terhibur melihat gambar-gambar ini walaupun kualitinya tidak memuaskan akibat dari faktor cuaca.

Kesemua gambar ini dirakamkan di jalan raya US-83 dan US-14 dan kami menempuh beberapa pekan dan perkampungan kecil seperti di bawah ini;
(North Dakota)
- Moffit
- Hazelton
- Temvik
- Linton
- Strasburg
Sempadan Negeri
(South Dakota)
- Herreid
- Mound City
- Selby
- Agar
- Onida
- Pierre






Setiap kali saya dan suami melakukan kembara berkereta dan apabila menyusuri serta melihat perkampungan kecil dengan populasi penduduk yang agak sedikit (di Amerika Syarikat atau Australia), saya sering membayangkan diri saya diletakkan sebagai penduduk di situ. Adakah boleh saya tinggal di sana seperti mereka yang majoriti pekerjaannya ialah di dalam bidang pertanian? Kedamaian serta jauh dari hiruk pikuk kota membuatkan saya berasa senang melihat pemandangan di sini.











































Pierre ialah ibu negeri bagi South Dakota. Entri mengenai Pierre akan saya siarkan tidak lama lagi.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terkini saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.

No comments:

Post a Comment