Wednesday, 19 September 2018

Pemanduan Dari Vancouver Ke San Francisco

Saya dan suami memang sentiasa mengelak dari melakukan kembara berkereta pada musim sejuk dan awal musim bunga terutama sekali melibatkan laluan di tempat yang masih bersalji seperti contoh merentasi gunung ganang. Antara faktor-faktor mengapa kami mengelak ialah kerana pemanduan pada tempoh ini amat berisiko mengalami kemalangan dan lebuh raya mewajibkan pengguna kenderaan untuk memasang rantai di tayar kenderaan. Waktu pemanduan juga akan berganda lebih lama berbanding jika tiada salji. Jika keadaan terlalu teruk, lebuh raya akan ditutup lama. Pada musim bunga tahun 2015, kembara kami pernah melibatkan ribut salji yang keadaan cuaca pada waktu itu bertukar dalam sekelip mata.

Pada bulan Mac yang lalu, suami saya mempunyai urusan penting yang harus diselesaikan di San Francisco. Notis yang diberi agak singkat di mana kami tidak dapat mencari penerbangan yang sesuai dan harga tiket boleh saya katakan tidak masuk akal. Terlalu mahal sehinggakan harganya menyamai penerbangan ke Asia sedangkan penerbangan dari Vancouver ke San Francisco hanya mengambil masa selama 3 jam sahaja.

24 MAC 2018
Menaiki kereta untuk ke San Francisco bukan masalah bagi kami tetapi yang memberi halangan ialah ketika itu ribut salji masih melanda di kebanyakan daerah di pergunungan di negeri Oregon dan California. Dua hari kami memantau keadaan keadaan melalui ramalan kaji cuaca dan beberapa video lintas langsung yang dipasang di lebuh raya di sana. Pada 24 Mac, akhirnya kami membuat keputusan di minit terakhir untuk bertolak dari Vancouver ke San Francisco walaupun keadaan cuaca masih samar-samar. Kami bertolak dari rumah sekitar jam 11:45 pagi, terperangkap di dalam kesesakan di sempadan Kanada-Amerika Syarikat selama 45 minit, berhenti rehat di beberapa buah perhentian dan makan malam sebelum daftar masuk ke hotel di Eugene, Oregon. Tiba di hotel ialah pada jam 11:15 malam.

Sebenarnya kami belum pasti untuk menyambung pemanduan esok hari ke San Francisco kerana di dalam perjalanan ke Eugene dan semasa berada di hotel, salji masih turun di beberapa kawasan pergunungan yang bakal kami rentasi. Kami mempunyai dua perancangan iaitu sekiranya salji masih turun pada esok hari, kami akan berpatah balik ke Vancouver atau, sekiranya salji berhenti dan lebuh raya selamat untuk dilalui, kami akan meneruskan pemanduan.


25 MAC 2018
Seawal subuh (ternyata kami tidak cukup tidur), perkara pertama yang dilakukan selepas bangun dari tidur ialah melihat ramalan kaji cuaca di televisyen dan internet. Salji akan turun juga pada hari ini tetapi kami boleh mengelak dengan syarat kami perlu melakukan pemanduan secepat mungkin. Hotel Best Western menyajikan sarapan percuma kepada tetamu hotel. Selepas mengalas perut sedikit dan menyelesaikam urusan daftar keluar, kami menyambung pemanduan pada jam 8:15 pagi dengan menggunakan lebuh raya yang sama seperti semalam iaitu Interstate 5 (I-5) dan selamat tiba di San Francisco hampir jam 7:00 malam dan cuaca juga agak baik. Masa pemanduan 1,525 km ini termasuk waktu kami berhenti di beberapa hentian untuk mengisi minyak dan kesesakan lalu lintas sebelum tiba di San Francisco.

RUMUSAN
Di sini saya kongsikan gambar-gambar dan video yang dirakamkan di sepanjang perjalanan dari Vancouver ke San Francisco. Pada hari pertama pemanduan, hujan turun sepanjang hari manakala pada hari kedua yang mencabar kami menempuh kabus tebal pada awal pagi dan salji hanya turun seperti renyai-renyai sahaja. Tidak dinafikan pemandangan memang begitu indah sekali terutama pada hari kedua apabila melihat gunang ganang diselaputi salji tetapi kembara kali ini bukan di dalam perancangan awal dan kehendak kami. Ia terpaksa dilakukan dan selagi belum tiba ke San Francisco fikiran kami letih memikirkan bagaimana cara untuk mengelak dari menempuh ribut salji.

Begitu lah sedikit sebanyak saya menceritakan tentang pengalaman untuk ke San Francisco pada awal musim bunga. Bagi mereka yang tidak tinggal di negara empat musim, mereka melihat salji itu sentiasa cantik, seronok untuk bermain-main dengannya tetapi bagi kami yang tinggal di negara empat musim, salji memberi dua makna iaitu keseronokan dan meyusahkan serta menyulitkan kerja-kerja harian. Walau bagaimanpun ia adalah kejadian alam semulajadi sama juga seperti hujan, banjir, ribut dan taufan. Yang penting sekali kita perlu sentiasa menjaga keselamatan diri kerana jika cuaca begitu teruk, ia boleh membahayakan nyawa.


Instagram : blog_th2010
You Tube : Shery NN

No comments:

Post a Comment