Pada musim panas yang lalu saya bersama suami serta dua orang sahabat telah melakukan lawatan separuh hari ke Kelowna, British Columbia. Jarak antara Kelowna dan Vancouver ialah 389 kilometer manakala masa pemanduan pula dianggarkan sekitar empat atau empat jam setengah bergantung kepada keadaan cuaca di gunung dan berapa kerap persinggahan dibuat. Lebih kurang separuh dari perjalanan ini kami menempuh Lebuh Raya 1 (Highway 1) yang begitu terkenal antara lebuh raya paling bahaya di Kanada kerana kerap meragut nyawa pengguna jalan raya. Faktor utama kemalangan biasanya adalah akibat dari kelalaian dan kecuaian pemandu yang memandu di lebuh raya yang terletak di lereng gunung.
Berbalik kepada pemanduan kami, Alhamdulilah ianya berjalan lancar cuma cuaca pada hari itu agak seperti 'tidak tenang'. Pada waktu pagi cuaca mendung kemudian diikuti pula dengan hujan, seterusnya berkabus, berawan, dan matahari menjengah di Kelowna sebelum menjelang senja.
Tujuan sebenar kami ke Kelowna ialah kerana ingin ke sebuah restoran halal yang pemiliknya berasal dari Singapura. Sudah lama juga saya mengetahui tentang restoran ini tetapi tidak pernah berkesempatan untuk mengunjunginya. Pelbagai jenis makanan yang telah dipesan oleh kami di samping dapat juga duduk semeja dengan pelanggan lain yang menetap di Kelowna. Kedatangan kami ini adalah yang terakhir kali kerana pemiliknya telah mengambil keputusan untuk mengundurkan diri di dalam bidang perniagaan yang sudah lama diceburinya.
Selepas makan tengah hari, kami singgah di Masjid Al-Salam untuk solat Asar. Melihat kepada keluasan masjid serta kemudahan yang terdapat di dalamnya, saya pasti bilangan orang Islam di Kelowna agak ramai. Dari masjid kami singgah ke pusat bandar untuk minum petang dan kemudian mengakhiri lawatan kami dengan melihat pemandangan waktu senja di kawasan rekreasi di mana terletaknya jeti atau marina dan Pusat Pelancongan Kelowna.
Sebenarnya masih ada banyak tempat tarikan pelancong yang lain yang terdapat di Kelowna yang belum pernah saya dan suami kunjungi. Andai ada masa yang sesuai mungkin kami akan melawar Kelowna untuk beberapa hari. Selain gambar-gambar yang dimuat naik di sini, saya juga telah siarkan dua video di saluran You Tube Shery NN ;
1) Pemanduan Dari Vancouver Ke Kelowna https://youtu.be/z9Wzuao-fts
2) Kelowna, British Columbia https://youtu.be/iOTBogIzXxQ
Instagram : blog_th2010
Facebook : blog_th2010
You Tube : Shery NN
No comments:
Post a Comment