Wednesday, 13 June 2012

Selamat Datang Ke Terjemahan Hati

Assalamualaium w.h.t dan Salam Pertemuan

Tujuan saya mengucapkan Selamat Datang ialah kerana blog saya semakin hari sudah menerima kunjungan dari ramai pembaca baru baik yang saya kenali mahupun sebaliknya (penyebaran Terjemahan Hati melalui kawan atas kawan).
Walaupun follower berdaftar saya sedikit tetapi saya mengenali ramai dari mereka yang menjadi pembaca senyap.Kuantiti tidak penting bagi saya kerana apa yang saya terjemahkan di dalam blog ini adalah ikhlas dari hati khas untuk mereka yang berminat membacanya.
Sebelum saya bercerita mengenai detik awal kehadiran Terjemahan Hati di dalam dunia blog,izinkan saya perkenalkan serba sedikit mengenai diri ini.

Pengenalan Diri

Saya dilahir dan dibesarkan di Ipoh Perak Malaysia.Pekerjaan terakhir saya sebelum berumahtangga ialah sebagai pramugari di Penerbangan Malaysia (MAS).Sejurus selepas berkahwin,saya berpindah ke Australia,iaitu negara tempat suami menetap dan bekerja.

Bagaimana lahirnya Terjemahan Hati?
Terjemahan Hati lahir pada bulan Januari 2010.Niat sebenar saya mengadakan blog ini ialah ingin meluahkan perasaan (bukan perasaan marah,dendam atau benci)yang terbuku di hati selepas kehilangan bapa tercinta hampir empat tahun yang lalu.Saya tidak menyangka walaupun sekadar beberapa siri luahan perasaan tentang arwah bapa,saya menerima beberapa maklum balas dari pembaca yang mengatakan mereka juga turut merasa sedih dan sebak selepas membacanya.
Entri di bawah pernah mencapai hit paling tinggi* oleh pembaca,
* http://www.sharery.blogspot.com/2010/09/30-ramadhan.html
seterusnya
http://www.sharery.blogspot.com/2010/12/si-dia.html
dan tidak lupa pemergian abang saya pada tahun 1992
http://www.sharery.blogspot.com/2011/02/sudah-19-tahun.html


Dalam masa yang sama semasa saya menetap di Australia,saya mengalami homesick yang sangat teruk terutamanya tahun pertama saya di Australia.Walaupun sebelum ini saya bekerja sebagai pramugari terbang ke merata buah negara dan sering berjauhan dengan keluarga,tetapi situasi tersebut tidak sama apabila sudah berpindah terus ke negara luar apatah lagi saya tidak dibenarkan keluar dari Australia selama dua tahun (syarat apabila memohon taraf penduduk tetap Australia).Homesick juga membuatkan saya lebih kerap meluahkan perasaan di sini.

Oleh kerana tidak dapat keluar negara dalam tempoh dua tahun,suami sering kali membawa saya melancong di dalam negeri di mana saya rasa sangat bersyukur kerana tidak semua rakyat Australia mampu dan berkesempatan untuk melancong,mengembara dan melakukan road trip ke tempat-tempat yang pernah saya lawati.
Pendek kata,kaki ini sudah menjejak hampir seluruh negara Australia.
Kamera saya telah memetik ratusan ribu gambar semasa saya melancong di dalam bumi Kangaroo tetapi apakan daya,hanya sedikit sahaja yang dapat saya kongsikan di dalam Terjemahan Hati.

Terjemahan Hati Pada Hari Ini
Pada peringkat permulaan,pembaca asal Terjemahan Hati ialah mereka yang saya kenali yang berasal dari Malaysia sahaja,tetapi lama kelamaan jumlah pembaca luar negara seperti Singapura,Australia,Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat semakin meningkat.

Selepas mendapat taraf penduduk tetap Australia beberapa bulan lalu,saya belum berkesempatan pulang ke Malaysia.Ini disebabkan faktor suami yang bekerja buat sementara waktu di Amerika Syarikat. Tempat isteri tentulah di sisi suami bukan?Bak kata pepatah,sambil menyelam sambil minum air. Berada di negara Barack Hussein Obama membuatkan kami suami isteri memanfaatkan masa terluang dengan sebaik mungkin dengan mengembara dan melancong tidak kira dengan menggunakan kapal terbang ataupun berkereta.Tetapi yang lebih buat masa ini ialah mengembara berkereta (road trip)menjelajah negeri-negeri di dalam negara ini.

Kepada Pembaca Sekalian
Sekali lagi saya ucapkan Selamat Datang dan ribuan terima kasih kerana sudi menjengah ke Terjemahan Hati.
Nantikan entri-entri seterusnya,siri demi siri penjelajahan saya di Amerika Syarikat. :-)

No comments:

Post a Comment