Sepanjang saya tinggal di Melbourne, Australia, stesen televisyen yang menjadi kegemaran saya ialah dari saluran 10 (Channel 10). Jika saya berada di rumah, berita utama yang ke udara setiap hari pada jam 5.00 petang pasti akan saya tonton. Melalui segmen ramalan kaji cuaca pula saya suka melihat pengacaranya iaitu Mike Larkan yang sering menyampaikan berita dengan cara bersahaja dan adakalanya agak kelakar.
Setiap hari Mike Larkan akan menyampaikan ramalan kaji cuaca secara lintas langsung dari luar studio dengan lokasinya yang berbeza-beza tidak kiralah di dalam bandar Melbourne mahupun di luar bandar.
(Disember 2011)
Pada suatu hari, semasa saya dan suami membawa anak saudara (datang bercuti) dan rakan saya (yang datang dari Malaysia atas urusan kerja) bersiar-siar di persisiran pantai di daerah Brighton, saya dikejutkan dengan kehadiran Mike Larkan yang sedang membuat lintas langsung bagi segmen ramalan kaji cuaca pada petang itu.
Pada awalnya saya hanya mengambil gambar Mike Larkan dari jauh dan kemudiannya saya cuba untuk memfokus kamera saya dengan lebih dekat lagi. |
Setelah melihat beberapa orang awam yang datang untuk mengambil gambar dengan Mike Larkan, saya juga turut teruja. Entah mengapa tiba-tiba timbul pula rasa malu, maka saya meminta suami untuk menegur Mike terlebih dahulu. Oleh kerana beliau begitu peramah dan ceria sama seperti apa yang saya lihat dari kaca televisyen, maka hilang perasaan itu dan datang rasa gembira.
Gambar atas : Wajah ceria saya apabila dapat bergambar dengan Mike Larkan. Gambar bawah : Gambar Mike Larkan yang disiarkan di dalam laman sesawang Channel 10. |
Inilah salah satu keuntungan apabila saya menetap tinggal di dalam bandar Melbourne. Bukan sahaja Mike Larkan, tetapi sudah ramai artis, selebriti, kerabat diraja, ahli politik, peragawati, peragawan tempatan dan antarabangsa yang pernah saya jumpa secara dekat di sini.
No comments:
Post a Comment